
Recommended
BFM89.9 menemubual Ahli Akademik dan Sejarawan ulung, Prof Dr. Khoo Kay Kim yang ditemani anak sulungnya, Eddin Khoo dalam slot The Bigger Picture: Live and Learn.
"Saya berharap memoir ini akan memberi impak kepada masyarakat. Ini sangat penting kerana kita sering bercakap mengenai pembinaan negara, namun setiap hari kita disogokkan dengan cerita bagaimana orang ramai dihasut untuk bermusuh sesama sendiri. Ini sungguh menyedihkan. Saya membesar dengan penuh kecintaan terhadap negara kita. Saya ingin melihat negara ini terus berkembang dengan kebaikan. Saya sungguh kecewa kerana anak muda sekarang jahil akan masyarakat mereka sendiri dan mereka sangat mudah dipengaruhi dengan golongan nakal di Malaysia. Saya harap akan ada perubahan kerana negara ini sebuah negara hebat dan kita harus pastikan negara ini terus hebat."
Dengarkan podcast temubual ini:
I, KKK: THE AUTOBIOGRAPHY OF A HISTORIAN
Petikan kata-kata Prof Dr. Khoo Kay Kim yang membuatkan penulis berasa terpanggil untuk berkongsi bingkisan rasa dan buah fikiran sejarawan ulung tanahair itu. Mendengarkan temubual Prof Dr. Khoo Kay Kim dalam slot The Bigger Picture - Live and Learn sangat membuka minda dan menghargai pemikiran orang ‘lama’ yang diibaratkan seperti ‘kutub kanah’ --- banyak memberi pengajaran dan pedoman untuk kita terus membina masa depan Malaysia yang lebih baik.
Beliau ditemani anak sulungnya, Eddin Khoo membicarakan mengenai autobiografi tulisannya sendiri; I,KKK. Buku yang baru sahaja dilancarkan oleh Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzudin Shah, kini mendapat perhatian daripada ahli akademik, media serta rakyat Malaysia yang cintakan sejarah.
Berikut merupakan sedutan daripada temubual kami bersama Prof Dr. Khoo Kay Kim dan Eddin Khoo.
Bagaimana tercetus idea untuk menghasilkan autobiografi ini? Adakah ini idea Prof?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Kita jarang menulis mengenai diri sendiri. Selalunya kita menulis mengenai orang lain. Menjadikan penulisan buku ini sangat rumit. Apabila kita menulis mengenai orang lain, segalanya diceritakan. Namun, jika mengenai diri sendiri, ada perkara-perkara yang perlu disorokkan (sambil ketawa kecil). Anak sulung saya, Eddin yang memaksa saya menulis buku ini.
Eddin Khoo: Saya rasa memori mengenai ibubapa kepada ayah saya yang menjadikan inspirasi untuk beliau menulis buku ini. Kita dapat melihat kenangan datuk dan nenek saya banyak dikisahkan dalam buku ini.
Bagaimana Prof menyediakan diri untuk bercerita mengenai personaliti dan mengupas sisi lain Prof?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Sebagai ahli akademik, saya banyak melibatkan diri dalam menulis mengenai personaliti-personaliti lain. Sudah tentunya saya selalu mengukur dan menilai diri saya saya dari masa ke semasa. Banyak peristiwa yang berlaku dan masih segar di ingatan membuatkan saya tertanya-tanya, adakah saya melakukan perkara yang betul atau saya boleh melakukan sesuatu dengan lebih baik jika ia ditangani dengan cara berbeza. Begitu juga pilihan kerjaya, hampir setiap apa yang berlaku dalam hidup saya adalah kebetulan.

Mengapa pilih judul I,KKK?
Eddin Khoo: Saya ingin bertanggung jawab terhadap judul tersebut. Nama Khoo Kay Kim sendiri sudah menggambarkan sebuah sejarah yang hebat. Antara sebab lain judul tersebut diberikan kepada buku ini kerana peminat ayah saya akan menggunakan singkatan KKK untuk menjelaskan sesuatu isu yang berhasil daripada buah fikiran beliau. Tak kurang juga mereka yang mengkritik ayah saya menggunakan singkatan KKK untuk menyuarakan ketidak puasan hati mereka. Mereka sering guna “KKK berkata dan KKK sebutâ€. Dan saya merasakan ia akan menjadi sebuah ironi yang menarik dan sangat sedap didengar.
Prof mengunjungi semula tempat Prof dilahirkan dan tinggal di sana buat beberapa ketika untuk mengimbas kembali memori tersebut. Tidakkah Prof mempunyai sebarang dokumen yang boleh dirujuk untuk tujuan itu?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Saya sering mengaitkan masa lampau dengan apa yang saya alami secara personal. Sebagai contoh, apabila orang bercakap mengenai 13 Mei 1969, saya sering mengingatkan kepada orang ramai, apa yang berlaku pada tahun 1969 itu tidak terbanding dengan apa yang saya alami ketika penghujung tahun 1945.
Ketika itu, terdapat pertembungan yang sangat serius dari Batu Pahat sehingga ke Perak. Ini tidak melibatkan orang Melayu dan Cina tetapi dengan orang Banjar dan orang Cina yang merupakan pengikut komunis yang mencetuskan kekecohan. Rakyat Malaysia ramai sudah melupakan peristiwa itu. Begitu juga halnya pada tahun 60-an terdapat konflik etnik di Pulau Pinang, namun tiada siapa yang bercakap mengenainya kerana Kuala Lumpur menjadi titik perhatian. Apa yang berlaku pada tahun 1969 tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan peristiwa lain yang saya sebut tadi. Ahli politik suka menggunakan perisitiwa 1969 itu.
Autobiografi merupakan satu kumpulan memori hidup seseorang. Bagaimana Prof memilih memori mana yang lebih penting untuk dimuatkan dalam buku tersebut?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Saya sering berbincang dengan Eddin. Ia lebih mudah jika ada orang mempersoalkan saya. Agak sukar untuk saya pilih memori di masa lampau, dan Eddin bertanya banyak soalan, membuatkan pilihan saya menjadi lebih mudah.
Eddin Khoo: Pertamanya, terlalu banyak keterpaksaan dan menjadi anak sulung beliau, membuatkan saya lebih rapat dengannya. Saya masih ingat ketika kecil saya sering mengikuti ayah saya mengadakan ceramah umum mengenai perpaduan. Ayah saya seorang yang penuh misteri bukan sahaja kepada umum malah kepada keluarganya sendiri. Dengan perkahwinan campur, membuatkan saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai salasilah keluarga saya.
Saya merasakan perlunya kami bercerita kepada masyarakat betapa kompleksnya keluarga kami. Terlalu banyak kisah menarik mengenai personaliti dan kerjaya beliau yang menggunakan pengalamannya sendiri. Masalahnya, beliau tidak boleh menulisnya sendiri. Beliau merupakan ahli akademik yang sangat menarik tapi apabila menulis mengenai dirinya, beliau akan menjadi sangat membosankan. Terlalu teknikal. Beliau seorang tukang cerita yang hebat, maka kami banyak melakukan rakaman temubual yang kemudian dijadikan dalam bentuk teks.

Bagaimana anda bekerjasama? Bagaimana anda memastikan kebenaran fakta dan memori tersebut?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Eddin akan menghantar soalan-soalan yang ingin ditanya 2-3 hari sebelum temubual sepertimana wartawan melakukannya.
Eddin Khoo: Ada beberapa sesi yang menarik di antara kami. Memori yang menarik mengenai ayah saya hanya boleh dibuktikan mengenai kehidupan sebenar. Contohnya, bagaimana ayah saya berkahwin dengan ibu saya pada ketika itu perkahwinan campur sangat asing dalam masyarakat. Dan bapa saudara saya yang berkahwin dengan kakak kepada ibu saya merupakan sahabat lama ayah saya di universiti. Kebetulan sebegini hanya berlaku dalam kehidupan sebenar.
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Saya jarang berkongsi mengenai kisah ini --- ketika bapa saya berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, beliau ditempatkan di Batu Gajah. Ketika itu, setiap petang, beliau akan bermain badminton dengan seorang lelaki berbangsa Ceylonese. Dan kebetulan, lelaki tersebut merupakan datuk kepada isteri saya!
Eddin Khoo: Ini mengapa autobiografi merupakan sebuah cerita yang menarik. Ia dapat memberitahu kita mengenai justifikasi memori dan ekspresi kehidupan sebenar.
Boleh kongsikan sedikit antara memori terawal Prof? Contohnya bagaimana pendudukan Jepun di Tanah Melayu mempengaruhi kehidupan ketika itu?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Saya menyimpan memori yang baik mengenai Jepun. Saya sungguh mengagumi mereka. Ketika itu, kami berteduh di dalam hutan di Kampar. Bapa saya keluar untuk memastikan keselamatan, dan beliau telah diserang oleh tentera Jepun. Tentera Jepun menghunus pedang ke arah leher bapa saya, nasib baik pedang itu tidak dilibas, jika tidak, sudah tentunya saya akan membenci Jepun seumur hidup saya. Saya kagum dengan betapa disiplinnya mereka. Ketika mereka menyerah kalah, ada di antara mereka terpaksa bekerja di tepi jalan dan berpindah dari bandar ke bandar. Saya berasa kasihan dengan mereka.
Walaupun dengan apa yang telah mereka lakukan kepada masyarakat di Tanah Melayu ketika itu?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Sebenarnya, ada di antara orang kita mengkhianati tanah air sendiri. Tentera Jepun tidak mengetahui sama ada mereka ini bekerjasama dengan Jepun secara jujur mahupun mengkhianati bangsa sendiri. Setelah Jepun menyerah kalah, mereka bekerjasama dengan Komunis. Mereka membalas dendam lebih dahsyat daripada Jepun. Mereka mengikat orang ke dalam karung guni dan lemaskan mereka ke dalam air.
Prof juga meminati sukan bolasepak sehingga menggelarkannya sebagai ‘a beautiful game’.
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Bapa saya peminat nombor satu sukan tersebut. Beliau tidak bermain bolasepak, tetapi mengikuti perkembangan sukan itu. Beliau sangat mengenali siapa pemain hebat ketika itu dan bagaimana sesuatu perlawanan itu berlangsung. Ini menimbulkan minat kepada saya dan beliau menjadi jurulatih saya berdasarkan cerita beliau. Beliau juga tidak terlepas mengikuti perlawanan saya, dan sering mengkritik cara saya bermain.
Prof turut menulis dalam buku tersebut mengenai kepelbagaian bangsa di Malaysia, adakah Prof rasa kita sudah berusaha sebaiknya untuk memastikan kesefahaman rakyat Malaysia di sebalik kepelbagaian ini?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Tidak, kita tidak berusaha bersungguh-sungguh. Kita terlalu mementingkan ekonomi sehingga kita terlupa budaya yang menyatukan kita semua. Kita tidak membantu orang dengan budaya lain untuk memahami budaya orang lain. Dahulu, kita pergi ke sekolah aliran Inggeris bersama-sama, sekarang semua membawa haluan masing-masing.

Prof juga ada bercerita mengenai kisah peribadi dalam buku itu seperti bagaimana Prof bertemu dengan isteri (Puan Sri Rathi), mungkin Prof boleh ceritakan dengan ringkas?
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Itu semua berlaku secara kebetulan. Banyak kali bapa beliau (Puan Sri Rathi) cuba untuk memisahkan kami. Bapa beliau tidak yakin yang ibubapa saya dapat menerima beliau. Satu hari, bapa beliau datang ke pejabat bapa saya dan berkata, “Boleh tak kamu minta anak kamu jangan datang berjumpa anak saya lagi?†Bapa saya menjawab, “Tidak, kamu tak boleh buat sedemikian. Suruh anak perempuan kamu jangan jumpa anak saya.†Ketika itu, barulah bapa beliau sedar yang keluarga saya menerima anak perempuannya.
Saya membesar dalam kepelbagaian bangsa. Banyak orang telah tersalah anggap bahawa pemerintahan British memecahbelahkan rakyat. Dalam kuarters kerajaan, kami hidup penuh harmoni berbilang kaum. Jiran saya ada Melayu, India, Cina, Ceylonese dan juga Eurasian. Kita semuanya sama sahaja, tak kira apa bangsa sekalipun.
Prof juga belajar Bahasa Melayu secara sendiri. Malahan Prof turut menjadikan P.Ramlee sebagai idola.
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Saya sering mengikuti ibubapa saya ke pesta hampir setiap malam. Saya berpeluang menonton opera Cina dan bangsawan Melayu. Tetapi saya memilih bangsawan Melayu kerana ia budaya berb a daripada saya. Dan saya menjadi biasa dengan Bahasa Melayu dan belajar menerusi lagu-lagu P.Ramlee sehinggalah Bahasa Melayu menjadi penting dan saya sudah bersedia untuk mengamalkannya.
Dengan mengumpulkan semua memori ini dan bercerita menerusi buku tersebut, apakah harapan terhadapnya?
Eddin Khoo: Saya berminat dengan sumber utama sejarah iaitu menerusi temubual. Saya merasakan perlunya suara ini didengari oleh semua kerana ia begitu menarik jika dibandingkan dengan dokumen sejarah yang hanya bersifat monolitik. Autobiografi ayah saya ini memberi kita perspektif baru bagaimana kita harus melihat sejarah.
Prof Dr. Khoo Kay Kim: Paling penting adalah untuk meneruskan apa yang saya suka buat selama ini --- membuat lebih banyak kajian dan menulis lebih banyak mengenai Malaysia.
Itulah antara sedutan temubual bersama ahli akademik dan sejarawan ulung negara, Prof Dr. Khoo Kay Kim. Anda boleh mendengarkan semula temubual tersebut di SINI.
I, KKK boleh didapati di kedai-kedai buku utama di seluruh Malaysia.
Share:
Recommended



Recent episodes
0
Latest stories






BFM 89.9
The Business Station