
Hak Sama Rata dan Peluang untuk Wanita dalam Sektor Perladangan Kelapa Sawit

Hak Sama Rata dan Peluang untuk Wanita dalam Sektor Perladangan Kelapa Sawit
Recommended
oleh: Shahrul Izwan Naser
Indonesia merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia dengan menghasilkan lebih kurang 33 juta tan pada tahun 2016. Tidak dapat dinafikan, sektor perladangan kelapa sawit merupakan lubuk pekerjaan utama di Indonesia. Menurut satu laporan pada tahun 2011, sektor perladangan kelapa sawit telah memberi manfaat secara terus kepada 1.46 juta isi rumah dan memberi kesan ekonomi kepada berjuta rakyat Indonesia.
Pekerjaan rasmi yang terdapat dalam sektor perladangan kelapa sawit adalah berteraskan gender. Kerja-kerja yang memerlukan kekuatan fizikal selalunya diberikan kepada kaum lelaki. Namun begitu, dengan sasaran tuaian yang tinggi, mereka akhirnya bergantung kepada isteri dan keluarga sebagai pekerja tambahan yang membayangi mereka demi mencapai sasaran tersebut. Kesannya, peranan pekerja wanita dalam sektor ini seakan tidak diiktiraf dan menerima pampasan yang tidak setimpal berbanding pekerja lelaki.
Pekerja wanita di ladang kelapa sawit hanya sekadar pekerja rencam untuk menabur baja dan racun serangga. Dan mereka seringkali dibayar lebih rendah berbanding pekerja lelaki. Sebagai pekerja rencam, masa depan mereka tidak terjamin, apatah lagi tiada sebarang manfaat pekerjaan disediakan oleh majikan.
Selain itu, pekerja wanita di ladang kelapa sawit juga berdepan dengan risiko masalah kesihatan kerana terdedah dengan bahan kimia daripada baja dan racun serangga untuk jangka masa yang panjang.
Kisah mengenai Magdalena Pandan; pekerja rencam di ladang kelapa sawit di Kalimantan Barat Indonesia yang bangkit seawal pagi bagi menguruskan rumah tangga dan bekerja di ladang kelapa sawit. Video oleh CIFOR.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan yang dibangkitkan oleh penyelidik tentang kesan-kesan sosial ke atas sektor tersebut. Jurang gender sering menjadi topik perdebatan dalam isu perladangan kelapa sawit di sebalik peranan wanita yang signifikan dalam sektor ini sebagai pekerja ladang, pekebun kecil dan anggota penting dalam masyarakat setempat.
Pusat Kajian Perhutanan Antarabangsa (CIFOR) telah menjalankan satu kajian bagi memahami isu gender dalam sektor perladangan kelapa sawit. Kajian mereka memberi saranan kepada Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) dalam menyediakan mekanisma terbaik bagi menangani jurang gender dalam sektor itu. Selain itu, kajian CIFOR juga membina kajian kes untuk badan persijilan lain seperti Indonesia Sustainable Palm Oil (ISPO).
Menurut kajian yang dijalankan mereka, amalan terbaik dan mekanisma pengauditan RSPO tidak menyatakan secara terperinci mengenai peranan gender dalam sektor perladangan kelapa sawit.
Suara wanita juga seringkali tidak diambil kira jika terdapatnya proses rundingan berkaitan manfaat dan pengambil-alihan tanah bagi tujuan perladangan kontrak oleh syarikat perladangan besar.
Ini merupakan peranan CIFOR untuk mengintengrasi suara dan peranan wanita sebagai pemegang taruh dalam sektor perladangan kelapa sawit di Indonesia yang diusahakan oleh Dr Bimbika Sijapati-Basnett, Saintis dan Koordinator Gender di CIFOR.
Yuliana Putri Leha, mengait buah kelapa sawit bersama suaminya, Singapul sejak tahun 2014. Walaupun hanya sekadar pekerja rencam, beliau tidak pasti akan ada peluang pekerjaan lain selain di ladang kelapa sawit. Video oleh CIFOR.
Isu Gender dalam Perladangan Kelapa Sawit di Indonesia
Menurut Dr Bimbika, isu gender berkait rapat dengan isu alam sekitar terutamanya mengenai hak dan peluang sama rata wanita. Selain itu, permintaan yang tinggi terhadap komoditi minyak kelapa sawit juga telah mengakibatkan jurang yang ketara di antara gender dalam sektor tersebut.
“Jika kita ingin menangani isu kelestarian alam sekitar, kita harus mengambilkira isu yang menekan gender kerana 50 peratus populasi di sektor perladangan kelapa sawit Indonesia adalah terdiri daripada wanita.â€
“Kita harus memberi tumpuan kepada 50 peratus populasi tersebut dan kita juga harus mengiktiraf permasalahan utama iaitu, kita tidak boleh sekadar meletakkan wanita dengan sesuka hati di ladang kelapa sawit dan berharap mereka akan melaksanakan kerja mereka.â€
“Realitinya, ia tidak baik untuk alam sekitar, hak dan kesamarataan gender jika manfaat yang diberikan kepada pekerja wanita tidak setimpal, mereka tidak diberikan peluang dalam pengurusan --- bagaimana kita ingin melihat peranan yang lebih besar dimainkan oleh wanita dalam isu alam sekitar?†kata Dr Bimbika.

Isu-isu sosial mempengaruhi jurang gender
Pola penggunaan bahan mentah dan mobilisasi sosial merupakan antara isu-isu sosial yang mempengaruhi jurang gender. Dalam ekonomi yang membangun pesat, kita dapat melihat jurang ketara dalam pembahagian kekayaan ekonomi.
“Dalam keadaan ekonomi kini, kita dapat melihat jurang ketara di antara miskin dan kaya. Begitu juga keadaannya apabila sesebuah negara mengalami kemajuan, terdapatnya juga jurang gender yang semakin membesar.â€
“Sebagai contohnya, keadaan di rantau Asia Selatan, kita boleh lihat bagaimana golongan kaya mampu meneruskan amalan mereka dan sedikit sebanyak menekan golongan bawahan untuk meneruskan kelangsungan hidup.â€
“Isu yang kita lihat mengenai alam sekitar dan jurang gender ini mempunyai trajektori selari tentang kemiskinan dan akses kepada sumber,†luah Dr Bimbika.
Dr Bimbika Sijapati-Basnett dan pasukannya menjalankan kajian mengenai isu-isu gender dan perkembangan wanita dalam perladangan kelapa sawit di Indonesia.
Isu alam sekitar dan konflik tanah
Isu alam sekitar dan konflik tanah adalah isu paling menonjol yang dibangkitkan oleh CIFOR. Sektor perladangan berkembang di Indonesia dengan mengorbankan hutan belantara.
Kebanyakan ladang kelapa sawit dibuka di atas tanah hutan sekunder, tanah yang telah dibalak dan tanah belukar. Sebahagian tanah yang dahulunya digunakan oleh pemilik tanah adat --- digunakan untuk bercucuk tanam dan mendakwa ia sebahagian daripada tanah pusaka mereka.
Dengan pembukaan ladang-ladang kelapa sawit ini, mengurangkan akses mereka kepada tanah adat, mengurangkan peluang mereka untuk bebas menternak dan memungut hasil hutan. Paling penting, pencemaran sungai akibat daripada perladangan telah menimbulkan risiko kesihatan dan kehilangan punca makanan. Akhirnya, mereka terpaksa bekerja di ladang kelapa sawit demi memastikan kelangsungan hidup.
“Dalam konteks perladangan kelapa sawit di Indonesia, kedua-dua gender --- lelaki dan wanita mengalami kerugian. Syarikat-syarikat perladangan mendapat hak untuk tebus-guna tanah hutan daripada kerajaan Indonesia, walaupun sebelum mereka membuat rundingan dengan masyarakat setempat.
“Pampasan yang diterima oleh mereka tidak setimpal dan mereka tidak mempunyai sebarang suara dan hak untuk menentukan jumlah pampasan.â€
“Golongan wanita pula menerima ketidakadilan paling ketara kerana mereka tidak terlibat secara langsung dengan proses rundingan. Syarikat perladangan pula hanya berunding dengan golongan lelaki dan mereka membuat andaian bahawa keputusan telahpun dibincang bersama isi rumah.â€
“Tanah-tanah yang diberikan hak kepada syarikat perladangan merupakan tanah untuk golongan wanita bercucuk tanam yang hasil tuaiannya digunakan bagi menampung kehidupan sekeluarga dan masyarakat setempat,†kata Dr Bimbika lagi.
Ketidakadilan gender yang baru
Dr Bimbika menegaskan, kajian yang dijalankannya ke atas golongan wanita dalam sektor perladangan kelapa sawit di Kalimantan, Indonesia mendapati wanita sememangnya mempunyai hak ke atas tanah mereka, boleh membuat keputusan untuk isi rumah dan membahagikan tugas sama rata.
Namun begitu, dengan pembukaan ladang kelapa sawit telah memberikan ketidakadilan gender yang baru kepada golongan wanita.
“Mereka tidak boleh membuat keputusan mengenai tebus-guna tanah oleh syarikat perladangan. Mereka tidak boleh memilih jenis kerja yang boleh dilakukan di ladang dan tidak menerima bayaran yang setimpal. Apatah lagi terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan.â€
“Inilah bentuk ketidakadilan baru yang diterima oleh golongan wanita dalam sektor perladangan di Indonesia,†Dr Bimbika menerangkan mengenai layanan terhadap wanita dalam sektor tersebut.

Perlunya pendekatan yang lebih holistik
Dr Bimbika menyeru agar semua pemegang taruh menggembleng tenaga berusaha menangani jurang gender dalam sektor perladangan kelapa sawit di Indonesia.
Kerajaan Indonesia di peringkat pembuatan dasar seharusnya mengiktiraf hak masyarakat setempat ke atas tanah yang ingin diberikan kepada syarikat perladangan, sekaligus mengiktiraf suara wanita dan peranan mereka ke atas tanah tersebut sebagai pemberi sumber kepada isi rumah dan masyarakat mereka.
“Tanpa sebarang penguatkuasaan yang teliti, agak sukar untuk kita menangani isu gender ini di peringkat akar umbi. CIFOR telah mengambil inisiatif untuk memberi peluang kepada semua pemegang taruh dalam sektor ini ketika forum yang diadakan di Jakarta baru-baru ini.â€
“Dalam forum tersebut, kami membincangkan bagaimana kerajaan boleh memainkan peranan penting dan bagaimana sektor awam serta swasta dapat membantu menangani isu tersebut. Di akhir forum tersebut, kami menyimpulkan bahawa kerajaan harus menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya mengenai isu alam sekitar, isu sosial dan kesamarataan gender yang boleh digunapakai oleh agensi kerajaan, badan bertindak, sektor swasta, NGO dan pemegang taruh yang lain.â€
“Begitu juga halnya dengan NGO, perlunya kepelbagaian NGO dalam memperjuangkan isu-isu alam sekitar dan sosial dengan mengambilkira hak-hak masyarakat setempat, hak golongan wanita dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan hutan belantara Indonesia,†Dr Bimbika mengakhiri temubualnya bersama BFM89.9.
Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai usaha-usaha CIFOR dalam isu alam sekitar dan isu sosial serta gender, boleh melayari laman web mereka di SINI.
Untuk mendengar semula temubual Dr Bimbika Sijapati-Basnett di BFM89.9, anda boleh muat turun podcast kami di SINI.
Share:
Recommended



Recent episodes
0
Latest stories






BFM 89.9
The Business Station
Copyright © 2025 BFM Media Sdn. Bhd. 200601017962. All rights reserved
Copyright © 2025 BFM Media Sdn. Bhd. 200601017962. All rights reserved